Jurulatih menyelam pesan ayah tunai haji - Utusan Malaysia

Jurulatih menyelam pesan ayah tunai haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU – Jurulatih menyelam, Zainal Abdun yang maut ketika menyelam bersama dua pelancong asing di Pulau Kalapuan, semalam, kerap berpesan kepada ayahnya supaya menunaikan ibadah haji.

Bapanya, Abdun Jamalun, 50, berkata, anaknya Zainal, 31, yang dipanggil Bola itu sering mengingatkannya mengenai ibadah haji setiap kali bertemu.

“Saya jawab kepadanya saya kumpul duit dulu, mahu pergi bersama mama mu…saya tidak sangka dengan pemergiannya sebab dia sudah lama dalam bidang (menyelam) ini dan lebih 10 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kali terakhir bertemu anaknya itu pada Khamis lalu kira-kira pukul 8 malam di jeti pelancongan di sini,” kongsinya kepada Bernama sambil menitiskan air mata.

Bercerita lebih lanjut, Abdun memberitahu, dia dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu ketika mengambi anak bongsunya dari sekolah.

“Setiba sahaja saya di rumah kira-kira pukul 6 petang, saya terima panggilan daripada kawan di kampung memberitahu anak sulung saya yang lemas dan berada di jeti,” jelasnya.

Tambah Abdun, mangsa juga sering mengingatkannya supaya tidak selalu ke Kota Kinabalu dan berehat daripada bekerja serta duduk di Semporna.

“Saya selalu ke Kota Kinabalu atas urusan niaga bagi menghantar tempahan hasil laut dan Zainal mahu saya berehat dan memberi perhatian kepada anak bongsu saya.

“Zainal merupakan anak sulung daripada sembilan beradik dan rapat dengan kesemua adik-beradiknya terutama sekali dengan adik bongsu lelaki yang juga adik tiri berumur sembilan tahun,” ujarnya,

Sementara itu, menurut Abdun ketika ini dia masih menunggu keputusan laporan bedah siasat Hospital Tawau mengenai punca kematian anaknya.

“Jenazah anak saya dihantar ke Hospital Tawau kira-kira pukul 1 pagi ini dan saya sempat ke sana sebelum saya kembali ke Semporna kira-kira pukul 5 pagi ini.

“Saya masih menunggu jenazah anak, untuk urusan pengebumian yang dijangka di Tanah Perkuburan Kampung Halo di sini,” katanya.-BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini