KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 individu termasuk tiga pelajar sekolah ditahan kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan jalan raya dalam operasi khas di ibu negara awal pagi ini.
Dalam operasi bermula kira-kira pukul 6 petang sehingga awal pagi ini dilakukan oleh 80 anggota dan tujuh pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bagi pemeriksaan terhadap kenderaan perdagangan, motosikal yang melakukan kesalahan jalan raya.
Ketuanya, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mereka yang berusia di antara 16 hingga 40 tahun itu merupakan 240 individu yang diperiksa dalam operasi itu.
Ujarnya, sepanjang operasi itu, sebanyak 370 kereta dan 830 motosikal telah diperiksa.
“Antara kesalahan yang dilakukan kesemua mereka iaitu menunggang motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu dan curi, menunggang secara berbahaya dengan melakukan aksi dan menaiki kereta tidak berdaftar.
“Selain itu, terdapat seorang daripada mereka ditahan kerana merupakan orang dikehendaki membabitkan kesalahan dadah dan juga memandu dalam keadaan mabuk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Zulkefly, meskipun Op Selamat telah berakhir namun operasi berterusan akan dijalankan pihaknya bagi meminimumkan kemalangan maut serta kesesakan.
“Operasi kali ini adalah bagi memberi lebih impak kesedaran keselamatan kepada semua pengguna kenderaan di dalam Kuala Lumpur agar mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE











