PELANTIKAN semula Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Ironinya, Ketua UMNO Bahagian Arau itu masih relevan di dalam politik khususnya di Perlis kerana beliau masih mendapat sokongan akar umbi parti termasuk rakyat di negeri ini.
Cuma kali ini, tanggungjawab Shahidan dilihat lebih besar kerana mengetuai UMNO Perlis sebagai negeri pembangkang buat pertama kalinya meskipun parti itu masih mengekalkan prestasi cemerlang di dalam pilihan raya lalu.
Antara cabaran dilihat menanti kepulangan Shahidan kali ini iaitu mampukah beliau mengukuhkan perpaduan di dalam parti bukannya ‘dua kem’ seperti sebelum-sebelum ini.
Kedua, dalam berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sekiranya UMNO bergabung dengan Pas adakah soal pengagihan kerusi dapat diselesaikan dengan baik. Apatah lagi wujud ura-ura Perlis menawarkan diri untuk menjadi perintis kepada kerajaan campuran antara UMNO-Pas.
Harus diingat bahawa soal pembahagian kerusi penting kerana Barisan Nasional (BN) Perlis menjadi antara negeri terakhir memuktamadkan senarai calon semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Apa yang lebih utama di saat UMNO bergelar pembangkang hari ini adalah pengukuhan di dalam parti sendiri terlebih dahulu. Apa jua masalah berbangkit sebelum ini antara ‘dua kem’ ini perlu segera diselesaikan supaya masalah sama tidak berulang setiap tahun.
Dalam masa sama, pelantikan semula Shahidan itu mendapat respon positif dari Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang mengucapkan tahniah kepada ketuanya itu.
Harapan Azlan, pelantikan itu boleh membawa kepada penyatuan yang sebenar-benarnya selain mengukuhkan parti dalam menghadapi musuh sebenar dalam PRU-15. – UTUSAN ONLINE











