Ta'awun: Draf akhir siap Rabu, ditandatangani awal Ogos - Utusan Malaysia

Ta’awun: Draf akhir siap Rabu, ditandatangani awal Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 6 Julai – Ta’ awun Siyasi Pas-UMNO setakat ini menyaksikan perkembangan positif apabila pemimpin tertinggi kedua-dua parti itu dijangka menandatangani draf akhir piagam serta dokumen perjanjian persefahaman mengenai kerjasama itu awal bulan depan.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa ketika mengesahkan perkara itu bagaimanapun tidak menyatakan bila tarikh sebenar majlis menandatangani perjanjian itu diadakan.

Beliau menjelaskan, bagi tujuan itu, satu jawatankuasa induk yang dianggotai wakil kedua-dua parti tersebut akan memuktamadkan draf serta dokumen MoU itu pada 10 Julai ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Insya Allah pada 10 hari bulan (Julai) jawatankuasa induk akan finalise (muktamadkan) draf akhir piagam serta dokumen MoU yang akan ditandatangani oleh kedua-dua presiden (UMNO dan Pas) yang dijangka awal Ogos.

“Jadi, tinggal lagi empat hari kita nak buat final draf dan akan serahkan kepada dua presiden yang akan kita tetapkan tarikh untuk satu majlis pelancaran,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh serta seluruh kepemimpinan UMNO negeri dan bahagian berkenaan.

Annuar mengulas lanjut, majlis pelancaran itu nanti dijangka diadakan bersempena program penyatuan ummah yang bakal dilangsungkan bulan depan.

“Untuk itu, UMNO telah lantik Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk duduk bersama Pas bagi merancang satu perhimpunan itu nanti,” katanya.

Jelas Annuar, manakala jawatankuasa induk itu akan dianggotai tujuh wakil daripada UMNO dan tujuh daripada Pas yang akan diketuai timbalan presiden parti masing-masing. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini