IRDA rancang bangunkan rangkaian akses pengangkutan di Johor - Utusan Malaysia

IRDA rancang bangunkan rangkaian akses pengangkutan di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) merancang untuk menambah baik serta membangunkan rangkaian akses pengangkutan bagi menghubungkan kawasan di negeri ini termasuk Iskandar Malaysia.

Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, perancangan tersebut yang merangkumi pelbagai mod pengangkutan termasuk jalan raya, rel, laut dan darat adalah bagi pembangunan negeri ini pada masa hadapan.

Menurutnya, pembangunan akses pengangkutan itu tidak semestinya hanya tertumpu kepada projek Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia (IMBRT) sahaja tetapi ia boleh melibatkan kemudahan lebuh raya dan jalan-jalan yang menghubungkan antara pusat bandar di negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai contoh, Lebuhraya Utara Selatan yang menghubungkan bukan sahaja Iskandar Malaysia tetapi seluruh negeri Johor serta Semenanjung Malaysia.

“Kita perlu lihat aspek lebuh raya itu bagaimana sekarang ia boleh menampung penggunaan berasaskan kepada pembangunan pesatyang berlaku di negeri ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai sesi taklimat tertutup IRDA bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga pengerusi bersama IRDA berhubung kemajuan pembangunan Iskandar Malaysia di sebuah hotel di Senai malam tadi.

Sesi taklimat itu turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang juga pengerusi bersama IRDA dan Setiausaha Kerajaan negeri yang juga merupakan Ahli Lembaga IRDA, Datuk Azmi Rohani.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, selain rangkaian akses pengangkutan, cadangan lain turut dikemukakan IRDA adalah isu pembangunan modal insan, peluang perniagaan serta cara meningkatkan kapasiti perniagaan berasaskan komuniti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini