PASIR GUDANG – Beberapa cadangan bagi menangani insiden pencemaran udara di Pasir Gudang akan diusulkan kepada kerajaan, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Menurutnya, cadangan yang akan diusulkan itu diperolehi hasil sesi dialog bersama wakil agensi kerajaan, ketua kampung dan pihak sekolah
yang dianjurkan pejabat parlimen beliau hari ini.
Hassan berkata, antara cadangan itu termasuk meminta kerajaan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani pencemaran udara.
“Sebagai contoh, pihak sekolah memang memiliki SOP tetapi ia hanya melibatkan bencana seperti kebakaran, namun, SOP untuk situasi pencemaran seperti yang berlaku di Pasir Gudang belum ada,” katanya selepas tamat sesi dialog itu di Dewan Sekolah Kebangsaan Taman Nusa Damai di sini.
Beliau berkata, SOP seumpama itu perlu diwujudkan bagi mengelak berlaku ketegangan antara pihak terlibat sama ada ibu bapa dan pihak sekolah atau pihak lain. – UTUSAN ONLINE.











