KUALA LUMPUR 6 Julai – Kementerian Pengangkutan diminta mencari kaedah terbaik bagi memastikan keadaan semua bas sekolah yang beroperasi di seluruh negara berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perkara itu bagi memberi jaminan keselamatan kepada semua pelajar yang menggunakan perkhidmatan tersebut.
Tegasnya, kes yang menimpa Wan Mohammed Adam Mohd. Suria, 12, maut akibat digilis tayar selepas terjatuh ke bawah bas melalui lantainya yang reput itu tidak boleh disifatkan sebagai kes terpencil, sebaliknya perlu tindakan segera pihak berwajib.
“Kes itu tidak boleh dianggap sebagai kes biasa-biasa kerana ia telah membahayakan keselamatan banyak pihak terutamanya pelajar.
“Saya berharap agar semua pihak yang bertanggungjawab terutamanya pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengambil pengajaran akan kes ini dalam memberi perhatian serius kepada aspek keselamatan dalam urusan perkhidmatan bas,” katanya kepada Utusan Online hari ini.
Beliau mengulas kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari, seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang maut selepas terpijak lantai bas yang reput sebelum terjatuh dari kenderaan tersebut yang sedang bergerak di Kampung Kandis, Kelantan.
Difahamkan, mangsa bersama rombongan sekolahnya dalam perjalanan untuk menyertai Bengkel Menjawab Soalan Bahasa Inggeris bersama pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Bukit Keluang, Besut, Terengganu. – UTUSAN ONLINE











