LONDON – Bekas pemain Manchester United dan Brazil, Kleberson berkata, rakan sepasukan antarabangsanya yang lalu, Dani Alves mampu menarik minat Jurgen Klopp selepas pemain pertahanan itu beredar meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG).
Alves meninggalkan juara Ligue 1 itu bulan lalu selepas memenangi gelaran berturut-turut dalam tempoh dua tahun di ibu negara Perancis itu.
Pemain berusia 36 tahun itu yang diberi kepercayaan sebagai kapten untuk menentang Peru dalam final Copa America Ahad ini sehingga sekarang masih belum memilih destinasi seterusnya.
Kleberson, yang memenangi Piala Dunia 2002 Jepun-Korea Selatan ketika menyarung jersi Brazil, pernah beraksi bersama bekas pemain Barcelona, Alves sekitar tahun 2006 hingga 2010.
Ujar pengendali kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) Philadelphia Union Academy, Kleberson, prestasi Alves yang mengagumkan di Copa Amerika mampu menarik minat pemenang baharu Liga Juara-Juara sekalipun sudah berusia.
“Saya mahu Dani Alves sertai kami di MLS. Dia adalah pemain fenomena dengan qualiti menakjubkan. Saya fikir tempat Dani paling sesuai adalah di Liverpool dan Klopp sememangnya menggemari pemain yang memiliki gaya sebegini.
“Dani sangat teknikal, pantas dan boleh menggalas tugas berat dalam pertandingan yang besar. Dia adalah juara,” kata Kleberson.- AGENSI











