KOTA BHARU – Ahmad Darwisy Shaifuzain, 17, pelajar dari Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Muhammad Faris Petra, di sini muncul johan Malaysian Brain Bee Challenge (MBBC) 2019 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di sini hari ini.
Pelajar itu mengalahkan 47 pencabar lain yang merupakan peserta terbaik dari 37 sekolah menengah di seluruh negara.
Dengan kejayaan itu, Ahmad Darwisy menerima hadiah RM6,000 sekali gus bakal mewakili Malaysia dalam International Brain Bee bertempat di Daegu, Korea Selatan pada 18-21 September depan.
Tempat kedua disandang oleh Ong Kang Howe dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, Seremban.
Kang Howe turut menerima Anugerah Al-Biruni iaitu sempena memperingati seorang Ilmuan Islam, Abu Al- Rayhan Muhammad Ibn Ahmad Al-Biruni.
Sementara itu, pelajar dari SMK St. Joseph, Sabah, Alvin Daniel Brata Laurio mendapat tempat ketiga.
Hadiah pemenang disampaikan oleh Presiden Malaysian Society Of Neurosciences, Dr. Tan Ai Huey dan Timbalannya, Prof. Madya Dr. Muzaimi Mustapha.
Sementara itu, Ahmad Darwisy ketika ditemui gembira di atas kemenangan itu selepas tiga kali mencuba nasib menyertai MBBC sejak 2017.
Katanya, dia bersyukur dan berterima kasih kepada penuntut sarjana perubatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) yang membimbingnya.
‘Persediaan untuk menyertai MBBC mencabar kerana saya juga perlu membuat persiapan menghadapi SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) hujung tahun ini,” katanya.
Dia berharap dapat mengharumkan nama Malaysia dan Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra apabila bertanding di peringkat antarabangsa kelak. – UTUSAN ONLINE











