KUALA LUMPUR 6 Julai – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) menyangkal keras dakwaan sebuah akaun Facebook yang mendakwa Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah agensi berkenaan menerima elaun berjumlah RM200,000 sedangkan anak-anak yatim dan miskin hanya mendapat sumbangan bernilai RM120 setahun.
Pemangku Ketua Pengarah Yapeim, Parihah Hasan menegaskan dakwaan akaun Facebook dengan nama Aspirasi Rakyat, Khamis lalu itu bukan sahaja tidak benar dan mengandungi unsur fitnah, malah bertujuan untuk menjatuhkan imej serta reputasi baik Yapeim.
Parihah menjelaskan, jumlah elaun Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) iaitu Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar adalah setimpal dengan peranan dan tanggungjawab sebagaimana termaktub dalam Surat Ikatan Amanah Yapeim dengan bayaran menggunakan dana daripada akaun yang dijana daripada sumber perniagaan, bukannya daripada Dana Tabung Amanah.
Dalam masa yang sama, pihak LPA juga telah memutuskan untuk mengurangkan kadar elaun bagi Pengerusi LPA mengambil kira kedudukan dan prestasi kewangan semasa Yapeim.
“Pembayaran elaun adalah sejajar dengan tugas Pengerusi dan semua ahli LPA dalam pembangunan perniagaan Yapeim di samping memantau serta memastikan tadbir urus mengikut amalan yang baik dalam semua aspek termasuk Pengurusan Tabung Amanah Yapeim,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebuah akaun Facebook dengan nama Aspirasi Rakyat, Khamis lalu, memuat naik gambar Mohd. Daud bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan mendakwa Pengerusi LPA Yapeim itu dipercayai menerima elaun berjumlah RM200,000 sedangkan anak-anak yatim serta miskin hanya mendapat RM120 setahun. – UTUSAN ONLINE











