PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan bersedia menggunakan bayaran balik hutang Kerajaan Negeri Sarawak sebanyak RM1 bilion untuk projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak, tertakluk kepada mekanisme perundangan yang ditetapkan.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Kewangan memaklumkan, Kerajaan Negeri Sarawak kini masih berhutang dengan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM2.37 bilion.
“Sekiranya RM1 bilion ini dibayar balik oleh Kerajaan Negeri Sarawak, maka Kerajaan Negeri Sarawak masih berhutang kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.37 juta,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kenyataan itu menambah, mekanisme perundangan yang ditetapkan merangkumi beberapa perkara termasuk:
* Kerajaan Negeri Sarawak hendaklah membayar balik sehingga RM1 bilion daripada jumlah hutangnya kepada Kerajaan Persekutuan ke dalam kumpulan wang disatukan Kerajaan Persekutuan.
* Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan jumlah sama seperti yang dibayar balik oleh kerajaan negeri sebagai peruntukan untuk digunakan bagi projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak.
* Kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak hendaklah ditawarkan secara tender terbuka, bagi memastikan ketelusan dan nilai berpatutan (value for money) berdasarkan tatacara kewangan Kerajaan Persekutuan semasa.
* Kerajaan Persekutuan bersedia mengambil kira keutamaan Kerajaan Negeri Sarawak dalam menentukan sekolah daif untuk dibaik pulih.
“Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa cadangan Kerajaan Negeri Sarawak menggunakan bayaran balik pinjaman untuk membaik pulih sekolah daif, sebenarnya adalah wang pendahuluan Kerajaan Persekutuan kerana melibatkan penggunaan dana yang dipinjamkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak sebelum ini.
“Jika disifatkan sebagai bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan, ianya bermaksud dana RM1 bilion tersebut sebenarnya merupakan wang milik Kerajaan Persekutuan sendiri, yang digunakan untuk membaik pulih sekolah daif di Sarawak,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung kaedah pelaksanaan membaik pulih sekolah daif di Sarawak telah dijelaskan kepada Kerajaan Negeri Sarawak semasa mesyuarat di Kementerian Kewangan pada 11 Mac lalu dan disusuli dengan surat bertarikh 20 Mac lalu.
“Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang maklum balas rasmi diterima daripada Kerajaan Negeri Sarawak,” katanya. – UTUSAN ONLINE











