KUALA LUMPUR 5 julai – Bantuan zakat Baitulmal yang diterima oleh enam orang yang kini bergelar Ikon Baitulmal nyata menjadi pengubah hidup mereka.
Ikon Usahawan Baitulmal, Fazliana Shirat, 36, berkata, dengan zakat yang diperoleh, kini beliau yang mengambil upah menjahit dapat memperoleh pendapatan kira-kira RM10,000 sebulan.
“Suami saya seorang Orang Kurang Upaya (OKU) dan alhamdulillah dengan bantuan zakat yang diterima sebanyak RM15,370 sejak 2012, saya dapat bantu beliau menyara kehidupan keluarga.
“Kalau dulu saya hanya menjahit baju di rumah, kini saya sudah ada sebuah kedai dan dua orang pembantu,” katanya.
Sementara itu, Rahimi Jonri, 44, yang juga merupakan Ikon Usahawan Baitulmal berkata, beliau pernah mengalami zaman kejatuhan dan bantuan zakat yang diterima ketika itu merupakan titik tolak dalam hidupnya.
“Dulu saya berniaga apam balik, tetapi semasa zaman kegawatan ekonomi 1997, saya mengalami kejatuhan yang teruk. Buntu untuk mencari mana-mana peluang sehingga ada rakan cadangkan untuk mohon zakat MAIWP.
“Alhamdulillah selepas itu permohonan saya diluluskan dan saya mula berniaga ayam goreng manakala isteri saya akan membuat kuih talam untuk dijual.
“Kini pendapatan saya sekitar RM10,000 dengan dua orang pembantu,” katanya.
Dalam pada itu, Ikon Pendidikan Baitulmal, Nuryn Zhafaryna, 28, berkata, Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang yang diterima dari 2009 hingga 2016 telah membantunya untuk menjadi seorang doktor hari ini.
“Masa itu saya tahu sebab ayah yang cari di surat khabar. Ayah seorang peniaga pasar malam dan ibu suri rumah tangga dan saya tidak pernah patah semangat untuk mencapai cita-cita menjadi seorang doktor.
“Bantuan yang diterima adalah untuk yuran pengajian dan duit sara diri jadi jumlah yang saya dapat adalah lebih kurang RM62,000 (AS$15,000).
“Banyak, memang lebih dari cukup. Saya harap pelajar-pelajar di luar sana tidak melepaskan peluang untuk memohon, sekiranya semua syarat dipenuhi, tiada masalah untuk anda dapat biasiswa ini,” katanya.











