Papan tanda:Ingkar tanda derhaka - Utusan Malaysia

Papan tanda:Ingkar tanda derhaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UTUSAN: Kerajaan negeri Selangor telah menegaskan hanya bahasa Melayu boleh digunakan pada papan tanda di negeri itu. Apa komen Datuk?

PENASIHAT Persatuan Linguistik Malaysia, Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan 

AWANG: Keputusan itu menepati erti dan semangat bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152). Namun saya sedih dan musykil mengapa sesudah lebih 60 tahun merdeka masih timbul isu tidak menghormati dan mematuhi Perlembagaan, termasuk tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Perlu ada tindakan tegas, termasuk menggunakan Akta Ha­sutan 1948 atau undang-undang lain kepada mana-mana pihak yang tidak menghormati Perlembagaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tuanku Sultan Selangor pernah bertitah sebelum ini supaya papan tanda di negeri itu hanya dalam bahasa Melayu namun masih ada yang ingkar. Mengapa ia berlaku?

Keingkaran itu tanda penderhakaan kepada negara. Sehingga sesudah Sultan turun padang bertitah tentang perkara yang sah di sisi undang-undang pun masih ada yang ingkar dan bersikap biadab.

Bagaimana pula dengan ne­geri-negeri lain, perlukah mereka mencontohi Selangor?

Isu ini bukan berkaitan de­ngan Selangor atau mana-mana negeri secara terpisah. Ini isu negara kerana Perlembagaan Persekutuan meliputi semua negeri dalam Persekutuan Malaysia. Semua kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) wajib mematuhi ketetapan yang dimaktubkan dalam Perlembagaan. Pihak berkuasa yang berkenaan patut berasa malu kerana tidak peka sehingga Sultan sebagai ketua negeri sendiri perlu turun tangan.

Bagaimana dengan peranan PBT bagi memastikan arahan ini dilaksana sepenuhnya?

PBT wajib menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu di tempat awam, termasuk nama jalan, kerana bidang kuasa terletak pada PBT. Isu selama ini ialah akibat PBT tidak tegas menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu di tempat awam.

Bagaimana pula peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam hal ini?

DBP telah mengadakan kerjasama dengan PBT dan pihak berkuasa yang lain dalam penggunaan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, seperti khidmat pengesahan bahasa untuk digunakan di tempat awam. Namun DBP hingga kini belum diberi kuasa mengambil tindakan undang-undang walaupun usaha meminda Akta DBP telah digerakkan lebih 10 tahun. Maka pihak berkuasa yang mempu­nyai kuasa bertindak perlu menggunakan kuasa itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini