PELABUHAN KLANG 6 Julai – Enam anggota bomba cedera ringan termasuk salah seorang daripada mereka kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) dalam operasi pemadaman kebakaran sebuah kilang di Jalan Perigi Nanas, Pulau Indah dekat sini petang semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 5.37 petang sebelum tiba di lokasi 6.12 petang berikutan jarak ke tempat kejadian 22 kilometer.
Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, kebakaran melibatkan tiga buah kilang kelas A yang mana salah satunya terbakar sepenuhnya sementara selebihnya terbakar 50 peratus.
“Bagaimanapun, enam daripada 60 anggota dari beberapa balai mengalami kecederaan ringan. Lima daripada mereka hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar namun seorang lagi ditahan di wad.
“Kebakaran dapat dikawal daripada merebak dan dapat dikawal 12.40 awal pagi tadi. Buat masa ini, terdapat lagi anggota bomba di tempat kejadian berikutan masih dalam pemantauan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











