KUALA LUMPUR – Selangor optimis mampu membalas dendam atas kekecewaan kepada Kedah tahun lalu apabila kedua-dua pasukan berentap lagi dalam separuh akhir kejohanan bola sepak wanita Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) di Stadium MMU, Cyberjaya esok.
Pemain sayap, Norashikin Azman percaya, dengan membariskan ramai pemain muda yang rata-rata berusia bawah 19 tahun negara, skuad Merah Kuning mampu melakar kejutan ke atas juara bertahan itu.
Biarpun kalah 1-2 kepada Kedah pada pusingan awal, namun keputusan itu sedikit pun tidak meresahkan Selangor untuk memburu tiket final.
“Tahun lalu pun kita tewas 0-5 kepada Kedah di pusingan awal tetapi kali ini kami berjaya memberi tentangan sengit. Saya yakin, pemain muda kita cukup bersemangat dan berkemampuan mara ke final.
“Pada peringkat liga kami tewas 1-2 tetapi ketika itu ramai pemain utama direhatkan. Dalam separuh akhir kami akan melakukan kejutan dan menurunkan barisan terbaik.
“Sudah pasti saya mahu meledak gol lagi dan bersedia memberi aksi lebih 100 peratus untuk membantu pasukan melangkah ke final,” katanya yang menjaringkan tiga gol dalam PTSR musim ini.
Kedua-dua pasukan bertemu di pentas sama tahun lalu yang menyaksikan Kedah menewaskan Selangor sebelum menundukkan Melaka di final. – UTUSAN ONLINE











