SACHSENRING, Jerman – Marc Marquez bakal turun beraksi pada Grand Prix Motosikal Jerman, hujung minggu ini dengan misi untuk memburu gelaran MotoGP buat kali ketujuh berturut-turut di Litar Sachsenring itu.
Pelumba Sepanyol berusia 26 tahun yang sedang menguasai tampuk selaku pendahulu keseluruhan, musim ini, dengan 44 mata, tidak pernah tercicir daripada meraih petak depan dan seterusnya muncul juara sejak kali pertama beraksi dalam kategori MotoGP di sini pada 2013.
Ini tidak termasuk kejayaannya muncul juara sekali dalam kelas 125cc pada 2010 dan dua kali bagi kategori Moto2 pada 2011 dan 2012. Jika kesemua gelaran itu dicampurkan, kemenangan hujung minggu ini akan menjadi yang ke-10 buat Marquez.
“Kami sekarang sudah sampai ke litar yang menjadi kegemaran saya. Ramai yang berkata saya adalah pilihan kerana tidak pernah terlepas kejuaraan di sini. Tetapi dalam sukan ini, ia sukar dijangka.
“Misalnya orang menyatakan perkara yang sama pada perlumbaan MotoGP di Amerika Syarikat (AS), tetapi akhirnya saya terjatuh. Keputusan lepas tidak memberi apa-apa makna sebenarnya kerana apa yang penting adalah kerja keras,” kata Marquez yang enggan mendabik dada.
Setakat ini, Marquez sudahpun menguasai empat kejuaraan daripada lapan perlumbaan 2019 yang telah berlangsung dan kini dia berada pada landasan terbaik untuk memburu gelaran dunia keenam dalam tempoh tujuh tahun. – AFP











