KUALA LUMPUR 5 Julai – Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim kembali dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis manakala Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan pula dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan itu dibuat melalui pengumuman yang dimuat naik dalam laman Facebook Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sebelum kenyataan akhbar diedarkan kepada pihak media selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan UMNO.
“Pelantikan ini dibuat berdasarkan arahan yang telah diterima daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk membuat pengumuman berkenaan pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, khususnya di Selangor dan Perlis.
“Pelantikan ini berkuat kuasa serta-merta sehingga tempoh Majlis Tertinggi 2018-2021. Dalam masa sama, Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin kekal sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis sementara Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor,” katanya.
Shahidan yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau kembali menerajui UMNO Perlis selepas digantikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tahun lalu.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor bagi tempoh sementara sebelum melepaskan jawatan itu pada 1 Mei lalu. – UTUSAN ONLINE











