Maggie ditahan 24 jam bantu siasatan - Utusan Malaysia

Maggie ditahan 24 jam bantu siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Penyanyi wanita warga Amerika Syarikat, Maggie Lindemann ditahan Jabatan Imigresen pada 21 Jun lalu di sebuah kompleks beli belah kerana tiada pas lawatan professional untuk melakukan persembahan di ibu negara.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, penyanyi yang popular dengan lagu Pretty Girl itu ditahan selama 24 jam bagi membantu siasatan berkaitan dokumentasi perjalanannya ke negara ini.

“Dia ditahan kerana tiada Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) bagi membuat persembahan dan pihak Imigresen tidak menahannya selama lima hari seperti didakwa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Maggie memuat naik status ciapan di Twitter dan Instagram: “Saya tidak dapat hadir kerana ditangkap dan ditahan ketika dalam perjalanan dan habiskan lima hari dalam neraka”. Kita memandang serius dakwaanya dan menafikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PLIK merupakan pas yang dikeluarkan kepada warganegara asing yang ingin bertugas dan menjalankan kerja-kerja khusus untuk jangka masa singkat di Malaysia.

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee memberitahu, bertindak atas aduan pada hari terbabit penyanyi itu ditahan dalam Op Bersepadu di premis hiburan The Bee, Publika.

Dalam operasi tersebut tambahnya, dua orang tempatan dan tiga orang warganegara Amerika Syarikat telah ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), kerana tidak mendapat kelulusan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya JIM pada 24 Jun 2019 dan semua suspek warga Amerika Syarikat dikompaun RM300 setiap seorang kerana didapati telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana telah menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial.

“Pada 25 Jun salah seorang pihak penganjur telah di dakwa di Mahkamah Seksyen Jenayah Kuala Lumpur atas kesalahan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan dijatuhi hukuman denda di mahkamah sebanyak RM30,000 atau penjara satu bulan dari tarikh tangkapan jika gagal membuat bayaran,” ujarnya.

Khairul Dzaimee menambah, semua barang kes seperti yang direkod dalam borang rampasan telah diserahkan kepada semua suspek pada 25 Jun setelah proses pendakwaan ke atas penganjur selesai dijalankan dan pihak penganjur telah membayar denda di mahkamah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini