SEREMBAN – Langkah kerajaan mewajibkan semua ahli Parlimen termasuk pembangkang, mengisytiharkan pendapatan dan harta masing-masing kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukanlah bertujuan untuk berbangga.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya ia bertujuan membolehkan kerajaan mengetahui sekiranya terdapat mana-mana ahli pentadbiran atau ahli Parlimen yang secara mendadak memiliki harta yang berlebihan selepas pengisytiharan dilakukan.
“Kalau pengisytiharan harta itu bermaksud untuk bermewah-mewah atau berbangga-bangga tentulah ia ditolak tapi perisytiharan ini untuk pastikan harta yang diperolehi secara halal dan teratur dan (yang) tidak di ambil tanah, balak, saham, projek sama ada dia itu UMNO, PKR, DAP atau PAS.
“Kalau kita enggan untuk isytihar, orang akan tanya kenapa beberapa pemimpin PAS bimbang apabila didedahkan kekayaannya itu terlalu banyak ada balak, ada tanah, ada saham? kerana ini juga maklumat umum (yang menyatakan) ada beberapa pemimpin yang ada dana atau pun tanah, harta yang berlebihan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis minum petang dan perjumpaan bersama pimpinan PKR Negeri Sembilan dan Melaka, di sini, hari ini. – Bernama











