KUALA LUMPUR – Berani kerana benar.
Itu tegas Yang Dipertua Persatuan Olahraga Daereh Temerloh, Datuk Mohd. Musa Noor Mohd apabila sendirian hadir ke Pejabat Pesuruhjaya Sukan Negara bagi menghantar surat memohon penjelasan kesahihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2019-2022, hari ini.
Kata Musa, beliau perlu bersuara selepas mendapati terdapat kelemahan sewaktu AGM KOM pada Ahad lalu dalam masa sama meminta kesemua perwakilan badan induk berkenaan agar tidak terus berdiam diri.
“Dalam isu ini semua perwakilan harus berani bersuara andai mendapati berlaku perkara yang tidak betul semasa mesyuarat pada Ahad.
“Saya tidak menyalahkan sesiapa tetapi jika ada kesilapan maka perlu akui jangan pula tegakkan benang yang basah.
“Bukti telah ada malah direkodkan. Tidak mengapa kita tunggu sahaja keputusan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan nanti,” katanya.
Perjalanan pemilihan AGM KOM 2019-2022 kini diragui terutama selepas Mohd. Musa mendedahkan berlaku beberapa kelemahan dalam mesyuarat berkenaan.
Mohd. Musa yang hadir dalam mesyuarat berkenaan selaku pemerhati bebas berpendapat hanya Pejabat Pesuruhjaya Sukan layak untuk menjelaskan situasi semasa AGM KOM 2019-2022.
Dalam pemilihan AGM KOM 2019-2022 pada Ahad lalu menyaksikan Datuk S.M Muthu dipilih sebagai presiden baharu badan induk berkenaan selepas mendapat 21 undian menewaskan Karim yang memperoleh 18 undian, manakala Timbalan Presiden KOM dimenangi Datuk Paduka Mumtaz Jaafar selepas menang tanpa bertanding.
Empat Naib Presiden KOM yang baharu ialah Datuk Mark Willeam, Josephine Kang, Rajemah Sheikh Ahmad dan Datuk Fadzil A. Bakar.- UTUSAN ONLINE











