Anwar sangkal isytihar harta idea komunis - Utusan Malaysia

Anwar sangkal isytihar harta idea komunis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa pengisytiharan harta adalah teori dan idea komunis serta sosialis.

Dalam nada sinis Presiden PKR itu berkata, beliau telah membaca buku ‘Das Kapital’ tulisan pengasas teori komunis, Karl Marx namun tidak menjumpai maklumat seperti didakwa Ahli Parlimen Marang itu.

Beliau menjelaskan, langkah kerajaan untuk melaksanakan undang-undang mewajibkan ahli pentadbiran dan Ahli Parlimen mengisytiharkan harta adalah untuk memastikan kekayaan mereka diperoleh secara telus.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau isytihar harta untuk bermewah dan berbangga tentulah ditolak, tetapi ini untuk pastikan harta diperoleh secara halal dan teratur.

“(Maknanya) tidak ambil tanah, balak, saham atau projek, tidak kira sama ada dia dari parti UMNO, PKR, DAP atau Pas,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri dan Pertemuan Bersama Pimpinan Cabang-Cabang PKR Negeri Sembilan dan Melaka di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Presiden PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan Pengerusi PKR negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.

Abdul Hadi hari ini dalam kuliahnya di Marang, Terengganu berkata, idea pengisytiharan harta yang diusulkan kerajaan merupakan teori komunis dan sosialis.

Beliau turut mendakwa DAP telah mempengaruhi kerajaan untuk melaksanakan undang-undang yang mewajibkan setiap Ahli Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, rakyat akan bertanya kenapa pemimpin Pas enggan mengisytiharkan harta kerana jika didedahkan ada pemimpin parti itu mempunyai banyak harta.

Katanya, pemimpin Islam dahulu seperti Khalifah Umar Abdul Aziz turut membuat inventori tentang hartanya, keluarga serta harta negara.

“Apabila ada maklumat (harta), kita boleh nilai kemudian. Contohnya, kalau ada pertambahan 200 ekar balak, 400 ekar tanah di Perak, balak di kelantan atau projek di Terengganu (milik pemimpin), maka kita tahu dia salah guna kuasa.

“Itu tujuan daripada usul Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya anggota pentadbiran dan ahli Parlimen isytihar harta. Mereka ahli Parlimen bercakap soal dasar, anti rasuah dan ketelusan, tetapi takut hendak isytihar harta, kenapa?,” soalnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini