DI Kelantan, berdasarkan perangkaan polis yang terbaharu, kes sumbang mahram melibatkan kanak-kanak adalah 83 peratus daripada 1,353 sepanjang lima tahun sejak 2013.
Didedahkan oleh Ketua Wanita Ikram Kelantan, Prof. Madya Dr. Zaharah Sulaiman dalam satu seminar Februari tahun ini, kata beliau, kebanyakan kes dilakukan ahli keluarga terdekat
Pelaku tertinggi jenayah itu adalah bapa yang mewakili 25 peratus daripada keseluruhan kes. Ia diikuti bapa tiri, bapa saudara dan abang.
Tidak sahaja di Kelantan, perlakuan sumbang mahram dipercayai terjadi di setiap negeri. Cuma belum terbongkar melalui tangkapan polis. Sedih bukan?
Pada September 2017, dilaporkan sebanyak 3, 272 kes sumbang mahram dilaporkan di Sarawak sejak 2006 hingga 2015. Dari jumlah kes itu, majoriti mangsa berumur 13 hingga 15 tahun.
Tragedi inses yang didedahkan kepada umum tiga hari lepas di Kemaman, Terengganu amat mengejutkan. Dua beradik tergamak menjadikan adik perempuan kandung mereka sendiri yang berusia 13 tahun sebagai tempat melempiaskan nafsu serakah sehingga mangsa melahirkan seorang bayi perempuan.
Perbuatan terkutuk dua lelaki berusia 17 dan 19 tahun itu terbongkar apabila mangsa mengadu sakit perut. Hasil soal siasat lanjut polis terhadap mangsa mendapati mangsa telah dirogol dua abangnya bermula akhir 2017 ketika mereka menetap di Kuantan, Pahang.
Inses – perbuatan zina dilakukan seseorang yang ada pertalian darah atau nasab (keturunan) dengan mangsa.
Baru-baru ini saya menerima panggilan daripada seorang ibu muda lewat 20-an yang mahu dikenali sebagai Ina sahaja. Dengan suara sebak, tersekat-sekat, Ina berkongsi dengan saya:
“Saya senasib, sama seperti bidalan Melayu, kisah ‘haruan makan anak’. Adik beradik saya kesemuanya lelaki dan saya anak perempuan tunggal. Jujurnya sehingga ke hari ini jiwa saya masih terluka.
“Pertama kali saya buka cerita adalah pada guru mengaji Quran saya, waktu itu saya berusia 11 tahun. Pada mulanya pastilah ustazah saya tak percaya, tapi bila saya cerita secara details, dia tahu saya bukan reka cerita.
“Saya tak berani cerita pada ibu sebab ibu amat garang. Jadi, ustazah yang panggil ibu ke sekolah. Bila balik, ibu suruh saya cerita semula padanya. Saya tunjuk semua tempat kejadian. Hati ibu remuk, hati saya pun sama.
“Parent saya berpisah untuk beberapa ketika (bukan bercerai). Cuma duduk berasingan. Lama-kelamaan ayah nampak insaf dan ibu menerima kembali. Kisah saya itu hilang ditelan masa. Tapi tak terhenti di situ. Bila saya masuk tingkatan satu dan mendapat tawaran asrama penuh, perlahan-lahan saya menjauhi mereka.
“Saya belajar lebih tentang aurat. Namun untuk berikan dia peluang bila saya berada di rumah, tidaklah. Saya sudah berani mengelak.
Ada saja harinya saya sedang tidur dan tiba-tiba rasa dipeluk dari belakang. Kemudian bila ibu terlihat, saya pula dimarahinya.
“Kali terakhir dia meraba saya ketika saya tingkatan lima. Saya menangis dan merayu. Tolonglah jangan sentuh saya lagi. Tolonglah. Dan benar, itulah kali terakhir perkara itu terjadi.
“Yang pasti, saya kecewa dengan kedua ibu bapa saya. Kerana kisah silam itu, saya mudah benci pada orang. Malah dulu, suami saya juga teruk dimarahi oleh saya. Saya juga sebenarnya benci hubungan seksual. Saya rasa saya ini hanyalah objek pelepas nafsu walaupun sebenarnya tidak.
“Entah. Saya ada dua muka. Satu optimis dan kedua, pesimis. Di sebalik senyuman manis yang saya pamerkan pada semua orang, ada rahsia terpendam yang hanya Allah sahaja tahu.” Itu luahan hati Ina kepada saya. Ya, perlakuan sumbang mahram merosakkan institusi keluarga.
Kajian menunjukkan inses lebih banyak berlaku dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah dan majoriti kes berlaku di kawasan luar bandar. Ini bertentangan dengan pandangan am bahawa kampung dan komuniti tradisional adalah kawasan selamat kerana didiami oleh orang-orang yang konvensional, yang berpegang kuat kepada ajaran agama dan yang dikatakan tidak cenderung ke arah perbuatan jahat.
Ibu-ibu di luar sana, ajarlah anak perempuan anda dari kecil lagi mengenali diri sendiri, tempat sulit dan bercerita jika ada sesiapa berlaku tidak sopan dengannya. Ayuh! Mari kita bersama-sama bongkarkan kes sumbang mahram.
Selamatkanlah mangsa yang masih mentah dan ketakutan saban hari serta akhirnya hadapkan si pelaku laknatullah ini ke muka pengadilan.











