Hanya Harakah boleh dipakai - Ahmad Maslan - Utusan Malaysia

Hanya Harakah boleh dipakai – Ahmad Maslan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT 5 Julai – Ahli UMNO diseru supaya hanya membaca Harakah sahaja iaitu akhbar dwi-mingguan terbitan Pas.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mendakwa, kebanyakan akhbar termasuk Utusan Malaysia sudah tidak boleh dipercayai sebahagian laporannya.

Dalam masa sama, beliau juga menyeru supaya memboikot laporan berita oleh stesen televisyen, sebaliknya memperkasakan penggunaan media sosial untuk mendapat maklumat terkini daripada pimpinan UMNO.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita tidak perlu lagi warta berita 8 malam, saya menyeru tuan-tuan jangan tengok lagi berita TV1, TV3, memang betullah TV3 ‘suku’, lebih baik kita tengok (rancangan) Maharaja Lawak Mega.

“Kita tengok Facebook Datuk (Seri) Najib (Tun Razak), FB dan instagram Ahmad Maslan serta (akaun) pemimpin yang lain, dapatkan maklumat di situ, kuasai media sosial.

“Surat khabar pun tak boleh pakai kecuali Harakah, Utusan (Malaysia) sebahagian, sekarang sudah bercampur dulu memanglah kita belaka, Berita Harian dan New Straits Times tak boleh pakai, The Star sedikit-sedikit, tetapi Harakah confirm kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tumpat di Dewan UMNO Tanjong Che Mas di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tumpat Datuk Zulkifli Abdullah; Ketua Wanita UMNO Bahagian Tumpat, Nik Noriza Nik Salleh; Ketua Pemuda UMNO Tumpat, Rosdi Razali dan Ketua Puteri UMNO Tumpat, Maziyana Ahmad.

Terdahulu, Ahmad berkata, lima perkara penting yang perlu dilakukan ahli UMNO adalah memastikan perpaduan dengan Pas dan sesama ahli dalam UMNO sendiri terjalin erat, menambah bilangan pengundi berdaftar, mendekati rakyat, menguasai media sosial dan berdikari.

“Ahli UMNO perlu berdikari, jadi usahawan dan apabila ada duit kita bantu parti kerana kita bukan lagi kerajaan yang memerintah, apatah lagi sekarang akaun bank kita dibekukan kerajaan zalim.

“Kita perlu jadi kreatif, berniaga, ikut contoh rakan kita Pas, ramai antara mereka adalah usahawan yang menyumbang semula kepada parti, ketua dewan ulama mereka sendiri adalah tauke emas,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini