KUALA LUMPUR – Polis menahan 22 individu termasuk dua wanita dalam Op Sarang di sekitar Kampung Tasek Permai dan Lembah Jaya Selatan daerah Ampang Jaya dekat sini bermula 3 hingga 5 Julai lalu.
Kesemua suspek yang ditahan dalam operasi selama tiga hari itu terdiri daripada 20 lelaki dan dua wanita tempatan berumur dalam lingkungan 21 hingga 53 tahun.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, polis turut merampas dadah disyaki syabu seberat 13.54 gram bernilai RM1,350, ganja (4.1 gram) bernilai RM750, erimin5 (0.99 gram) bernilai RM100 dan air ketum (87,000 mililiter) berharga RM870.
Menurutnya, pihaknya juga berjaya menangkap seorang suspek yang dikehendaki polis di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Siasatan awal mendapati majoriti suspek yang ditahan tiada pekerjaan tetap dan didapati mendapatkan bekalan dadah dan air ketum di kawasan kampung tersebut sejak lima bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Noor Azmi menambah, hasil daripada serbuan Op Sarang, pihaknya membuka kertas siasatan baru di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.
“Semua suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) bagi tujuan siasatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











