Tropicana rai, bantu anak yatim - Utusan Malaysia

Tropicana rai, bantu anak yatim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TROPICANA Golf and Country Club meneruskan tradisi tahunannya membantu mereka yang memerlukan terutama anak-anak yatim dan golongan asnaf.

Bantuan itu diterjemahkan dalam satu majlis jamuan hari raya meraikan 220 anak yatim dan golongan asnaf dari tiga buah rumah kebajikan termasuk Rumah Kasih Harmoni, Sungai Buloh dan Rumah Kebajikan Islam Peribadi Mulia, Kajang di kelab tersebut baru-baru ini.

Selain jamuan makan, pihak Tropicana Golf and Country Club turut menyumbang RM10,000 kepada setiap rumah kebajikan sementara kanak-kanak yang hadir menerima duit raya dan cenderahati dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM40,000.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sambutan Aidilfitri itu merupakan acara yang diadakan setiap tahun dengan menjemput seluruh penghuni tiga buah rumah kebajikan berlainan untuk diraikan.

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 itu diserikan dengan gelagat pengacara terkenal Helmi Gimik selaku hos.

Sementara itu, beberapa orang anak yatim yang ditemui meluahkan perasaan duka apabila terpaksa berpisah dengan orang yang tersayang akibat kesempitan hidup.

Tidak dapat digambarkan bagaimana perasaan seorang anak kecil yang baru berusia dua tahun, namun terpaksa berjauhan dengan ibu bapa akibat masalah kewangan.

Itu cabaran dihadapi Muhammad Badruddin enam beradik apabila terpaksa tinggal di Rumah Anak Kesayanganku milik Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Anak Kesayanganku di Bukit Beruntung, Selangor.

Luluh hati mendengar tangisan setiap malam mencari ibunya sedangkan umum tahu kanak-kanak seusia itu pasti mencari susu ibu sebelum melelapkan mata.

Menurut kakak sulungnya, Jaliah Othman Affan, 12, dia dan adik-adiknya iaitu Asiah, Muhd. Luqmanurhakim, Nur Wasilah, Nimas dan Muhammad Badruddin dihantar oleh kedua ibu bapa mereka ke rumah itu kerana kesempitan hidup.

“Lebih seminggu Budin (Muhammad Badruddin) menangis setiap malam sebelum tidur kerana mencari ibu untuk menyusu.

“Mujur kami adik-beradik ada, sekurang-kurangnya dapat bantu dia biasakan diri tinggal dengan kami dan rakan-rakan yang lain di sana.

“Kami tinggal di Rumah Anak Kesayanganku sejak tahun lalu kerana ibu dan ayah kata tidak mampu menyara kami sekeluarga kalau hanya ayah seorang yang bekerja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini