KUALA LUMPUR 5 Julai – Pertandingan Debat antara Sekolah-Sekolah Malaysia (IDC 2019) yang dianjurkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak diadakan di sini bermula hari ini sehingga 8 Ogos depan.
Penganjuran yang sudah memasuki tahun ke-17 itu merupakan pertandingan debat paling berprestij kerana merupakan satu-satunya platform paling lama yang menghimpunkan pelbagai jenis sekolah di bawah satu bumbung.
Sekolah yang bertanding termasuklah Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri, sekolah harian dan sekolah swasta.
Terdapat tiga kategori dipertandingkan iaitu debat bahasa Melayu, Inggeris dan Arab dengan hadiah berupa wang tunai sebanyak RM3,000 (bahasa Melayu dan Arab), RM2,000 (bahasa Inggeris) dan piala pusingan menjadi rebutan peserta pada tahun ini.
Difahamkan sebanyak 25 sekolah mengambil bahagian dalam kategori debat bahasa Melayu, 50 sekolah (bahasa Inggeris) dan 30 pasukan (bahasa Arab).
Pertandingan yang berlangsung selama empat hari itu dijangka turut diserikan dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan alumni debat bahasa Inggeris UIAM yang akan meluangkan masa bersama para peserta selain memberi inspirasi kepada mereka. -UTUSAN ONLINE











