JIKA diminta cadangan tempat menarik untuk dilawati di ibu kota, pasti ramai memilih Menara Berkembar Petronas sebagai pilihan paling ideal.
Tidak dinafikan, bangunan pencakar langit ikonik itu menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia dan menjadi ‘cermin’ pembangunan negara sejak disiap kan pada 1999.
Bahkan dalam kalangan pelancong asing juga, menara berkembar tertinggi di dunia itu sering menjadi penyebab untuk mereka berkunjung ke negara ini.
Dan tidak juga keterlaluan untuk mengatakan pengalaman berada di negara ini seolah-olah tidak lengkap tanpa menjejakkan kaki ke dalam karya seni arkitek tersohor, Cesar Pelli.
Maka tidak hairanlah pakej lawatan untuk menikmati keindahan panorama 360 darjah Kuala Lumpur dari puncak setinggi 452 meter itu menjadi rebutan ribuan pelancong setiap hari.
Bermula pada pukul 9 pagi sehingga 8.30 malam setiap hari kecuali Isnin dan Hari Raya Aidilfitri, pakej lawatan ke Skybridge dan Dek Pemerhati menawarkan pengalaman yang cukup mengagumkan.
Dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut warna rantai leher, kunjungan pelawat bermula di Skybridge iaitu jejantas pejalan kaki yang menghubungkan menara I dengan menara II pada aras 41.
Di jambatan yang berfungsi sebagai pengimbang kedua-dua menara itu, pelawat diberi masa antara 10 hingga 15 minit untuk menyaksikan wajah pembangunan kota yang bermula lebih seabad lalu.
Untuk rakaman gambar terbaik, pengunjung dinasihatkan melawat pada sebelah pagi ketika matahari belum terik memancar yang menyebabkan ‘terowong’ kaca sepanjang 58.5 meter itu dipenuhi biasan.
Selepas Skybridge, kemuncak lawatan di bangunan ke 11 tertinggi di dunia itu adalah Dek Pemerhati yang terletak di tingkat 86 iaitu aras paling tinggi yang dibenarkan untuk orang awam.
Selain pemandangan keliling yang jelas menerusi tingkap kaca, orang ramai turut disediakan kemudahan beberapa unit teropong berkuasa tinggi untuk meninjau lokasi-lokasi menarik di ibu kota.
Bahagian tengah dek pula dihiasi replika Menara Berkembar Petronas, pelan pembangunan Kuala Lumpur, paparan informasi dan permainan multimedia penuh interaktif.
Untuk mengabadikan pengalaman dan mendapatkan buah tangan, pengunjung boleh singgah di beberapa gerai jualan cenderahati di ruang legar Dek Pemerhati dan di lobi bangunan.
Tempoh kira-kira 20 minit yang dibenarkan untuk pelawat berada di Dek Pemerhati itu ternyata berlalu dengan pantas. Namun kunjungan sudah tentu berbaloi.
l Harga tiket: RM28 untuk dewasa (MyKad) dewasa, RM14 untuk kanak-kanak (Mykad)
l Waktu lawatan: 9 pagi hingga 8.30 malam (setiap hari kecuali Isnin dan Hari Raya Aidilfitri)
l Tiket: Aras Concourse Menara Berkembar Petronas atau beli online: www.petronastwintowers.com.my











