12,450 DVD tanpa label KPDNHEP bernilai lebih RM81,000 dirampas - Utusan Malaysia

12,450 DVD tanpa label KPDNHEP bernilai lebih RM81,000 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Sejumlah 12,450 unit cakera video digital (DVD) tanpa label Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bernilai RM81,250 dirampas dalam dua serbuan berasingan di Gopeng dan Kampar semalam.

Timbalan Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Perak, Mohd. Sakhri Mohd. Salleh berkata, serbuan yang dijalankan pada pukul 2 petang oleh sekumpulan sembilan pegawai penguatkuasa itu hasil maklumat dan aduan daripada orang awam. 

“Hasil pemeriksaan di kedua-dua premis tersebut, kita mengesyaki mereka ada membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan DVD tanpa label cakera optik KPDNHEP. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehubungan itu, sebanyak 12,450 unit DVD berkenaan yang dianggarkan bernilai RM81,250 disita untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat KPDNHEP Perak di sini sebentar tadi. 

Tambah Mohd. Sakhri, majikan dan pekerja di kedua-dua premis tersebut juga akan dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan. 

“Difahamkan kedua-dua premis tersebut menjual DVD berkenaan dengan harga sekitar RM6 hingga RM7 seunit.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 4(4)(a) Peraturan Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010 yang boleh dihukum denda sehingga RM250,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya. 

Katanya, KPDNHEP menasihatkan para peniaga cakera optik untuk mendapatkan label berkenaan terlebih dahulu sebelum menjualnya kepada orang ramai. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini