KUALA TERENGGANU – Institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri, Kolej Universiti TATI (TATIUC) membuka peluang kepada mana-mana pelajar untuk menyambung pengajian di peringkat asasi, diploma dan ijazah bagi sesi Julai 2019.
Pendaftarnya, Mohd. Shafaruddin Mustafa berkata, semua pelajar yang mengikuti program asasi berpeluang menikmati manfaat Biasiswa Terengganu Sejahtera berjumlah RM3,230 sepanjang pengajian.
Katanya, bantuan sara hidup sebanyak RM800 setiap semester akan turut diberikan kepada pelajar diploma manakala bagi ijazah pula RM1,000 setiap semester.
Berita berkaitan:
“Pelajar tidak perlu bimbang kerana penginapan disediakan sepanjang pengajian di samping itu, kita memiliki kelas dan makmal yang kondusif, perkhidmatan jalur lebar (WiFi), kemudahan fasiliti yang selesa dan lokasi yang strategik berdekatan dengan industri.
“Menariknya di TATIUC, yuran pengajian kita merupakan antara yang terendah, selain tahap kebolehpasaran yang tinggi selepas bergraduasi dan mempunyai jalinan kuat dengan pihak industri di dalam mahu pun luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Mohd. Shafaruddin berkata, mereka yang berminat boleh membuat permohonan secara dalam talian di http://www.tatiuc.edu.my/eCampus.html.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh hubungi 09-8601130/1020/1147 atau WhatsApp 017-9798257. – UTUSAN ONLINE











