KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam meroboh 13 premis perniagaan yang didirikan tanpa kebenaran sepanjang Jalan 11/32 Taman Jinjang Baru, Kepong di sini.
Operasi Bersepadu Meroboh Struktur Haram yang bermula pada pukul 9.30 pagi dan tamat pada 1 petang itu turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia, Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Alam Flora Sdn. Bhd. Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).
DBKL dalam kenyataannya memberitahu, kesemua premis haram tersebut menjalankan perniagaan menjual makanan dan minuman, pakaian, barang basah serta kering.
“Pemilik struktur premis terbabit sebelum ini telah diberikan notis penguatkuasaan sebanyak tiga kali sebelum tindakan roboh diambil di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya dalam kenyataan itu di sini.- UTUSAN ONLINE











