Sebak dalam gembira - Utusan Malaysia

Sebak dalam gembira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENERIMA seruan Ilahi bagi menunaikan fardu haji tentunya merupakan khabar berita bagi setiap umat Islam yang lama memendam impian tersebut apatah lagi melibatkan penantian berpuluh tahun.

Bukan sahaja menunggu kouta dan simpanan wang mencukupi, mereka juga perlu lulus pemeriksaan fizikal iaitu sihat tubuh badan agar menerima cop kelulusan pasukan perubatan kerajaan.

Malah, pengisian rohani dan mental perlu seiring agar ibadah haji yang dilaksanakan sempurna di samping mendapat keredaan Allah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Demikian gambaran boleh dilihat daripada raut wajah kesyukuran Mohd. Shahar Sharani, 64, dan isterinya, Salmiah Kassim, 63, yang menunggu giliran lebih 10 tahun.

Kata bapa kepada lima anak itu, berlinang air matanya apabila menerima sepucuk surat yang memaklumkannya diterima sebagai seorang daripada tetamu Allah tahun ini.

“Pak cik terima surat ini sebelum puasa lepas dan sebaik sahaja membukanya alangkah gembira akhirnya dijemput menjejakkan hati ke tanah suci.

“Perasaan gembira bercampur sedih, tetapi saya sangat bersyukur kerana Allah memberikan peluang ini kepada kami,” katanya yang merupakan bekas ahli farmasi.

Gambaran sama juga dizahirkan oleh Salmiah apabila dia telah melakukan persediaan awal bermula Ramadan lalu sebaik sahaja menerima surat panggilan ke tanah suci.

“Nak kata risaupun ada, sedihpun ada, gembira juga ada, sebab pertama kali jejak kaki ke Mekah, tetapi mak cik hanya mampu ucap Alhamdulillah.

“Bersedia memang mak cik bersedia dari awal lagi termasuk menjaga kesihatan, namun mak cik berharap doa anak-anak dapat memberkati perjalanan kami ini,” kata bekas jururawat itu dengan nada sebak.


BERSYUKUR

Sementara itu bagi anak kedua kepada pasangan suami isteri itu, Mohd. Azmir, seluruh ahli keluarga mereka bersyukur kerana penantian ibu bapanya sekian lama akhirnya termakbul dengan seruan panggilan haji.

Katanya, walaupun sedih kerana terpaksa berjauhan untuk tempoh 45 hari, tetapi dia sekeluarga reda demi memastikan ibu bapa disayangi dapat melaksanakan ibadah haji.

“Oleh itu, kami semua lima beradik ada yang datang dari Pahang, Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan semata-mata untuk menghantar ayah dan mak di Kompleks Tabung Haji Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini.

“Semua 25 anggota keluarga termasuk anak, menantu dan cucu datang ke sini untuk melepaskan rindu sementara mereka berlepas ke sana,” katanya.

Mohd. Shahar dan Salmiah merupakan antara 483 jemaah daripada kumpulan pertama jemaah haji (KT01) yang berlepas ke tanah suci menerusi penerbangan pertama semalam.

Majlis pelepasan disempurnakan oleh Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman. Operasi haji bagi musim 1440H/2019M fasa satu merangkumi 62 penerbangan yang bermula 4 Julai dan berakhir pada 4 Ogos ini dengan melibatkan seramai 30,200 jemaah Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini