Kerajaan Negeri P. Pinang sahkan terima surat kelulusan EIA tambak laut daripada JAS - Utusan Malaysia

Kerajaan Negeri P. Pinang sahkan terima surat kelulusan EIA tambak laut daripada JAS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 5 Julai – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengesahkan pihaknya sudah menerima surat kelulusan laporan kesan penilaian alam sekitar (EIA) bagi projek tambak laut untuk membentuk tiga buah pulau buatan di perairan selatan negeri ini (PSR) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, surat kelulusan itu diterima pejabatnya petang semalam yang disertakan bersama-sama 72 syarat dan nasihat yang perlu dipatuhi kerajaan negeri.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan meneliti syarat dan nasihat itu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penjelasan lanjut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita perlu meneliti kandungan nasihat dan syarat itu terlebih dahulu memandangkan dokumennya juga agak tebal dan kita akan mendedahkan perincian tentang kelulusan itu minggu depan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebuah akhbar sebelum ini melaporkan kerajaan negeri sudah menerima surat kelulusan bagi projek tambak laut seluas kira-kira 1,800 hektar itu yang memetik sumber namun Kon Yeow semalam menafikannya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, 72 nasihat dan syarat yang disertakan tersebut bukan perkara baharu memandangkan turut dinyatakan oleh pelbagai pihak yang terlibat dalam proses mendapatkan kelulusan EIA.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan berusaha memastikan kesemua nasihat dan syarat ditetapkan itu dipatuhi sekali pun melibatkan tambahan kos.

Projek tambakan laut di Permatang Damar Laut di sini itu dirancang kerajaan negeri bagi membina tiga pulau buatan untuk dijual bagi menjana pembangunan ekonomi negeri dan membiayai pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang yang dianggarkan menelan kos RM46 bilion. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini