KUALA LUMPUR – Ciapan laman sosial Twitter, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendapat perhatian pengguna media sosial hari ini apabila baginda memohon maaf kerana makan durian menggunakan sudu dan garfu.
“Saya minta maaf, sejak kecil lagi di ajar oleh Tok saya, makan surian pakai camca garfu supaya tangan tak berbau ….. begitu juga dgn rambutan, siap di kupas dan di hiris …. manggis juga begitu,” tulis baginda hari ini yang mendapat lebih 2,000 ciapan semula.
Tunku Azizah lapan jam lalu melakukan ciapan sekeping gambar seulas durian bersama sudu dan garfu yang mendapat perhatian warga media sosial.
Dalam ciapan lain, baginda berjenaka dengan menggambarkan, jika makan durian pakai tangan mungkin baginda boleh makan tiga biji durian bukannya tiga ulas.
“Kalau lah makan durian pakai tangan, mungkin 3 biji habis dan bukan 3 ulas …. begitu juga kalau makan nasi… naik terus selera,” tulis baginda di Twitter.
Ciapan lain yang ditulis Tunku Azizah berbunyi, “sahabat selalu ketawa kan saya makan durian pakai sudu garfu…. lepas tu mereka semua cooy saya ….. tak kira lah pakai tangan or sudu garfu, kick nya tetap sama …. alhamdulillah diatas nikmat allah swt kurniakan …..”.
Tunku Azizah merupakan penggemar durian selepas tular satu video baginda bersama pengiring baginda mencari durian di tepi jalan ketika waktu malam. – K! ONLINE











