IPOH 5 Julai – Warga 2 Briged diingatkan sentiasa meletakkan keutamaan tugas bagi merealisasikan misi dan visi pasukan tersebut sebagai tunjang pertahanan utama di negeri ini.
Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Malek Razak Sulaiman berkata, hasrat tersebut dapat dicapai melalui kerjasama semua warganya.
Katanya, sebagai pemerintah briged berkenaan, beliau menggariskan enam teras utama kepada anggota dan pegawai.
“Enam teras utama itu ialah profesionalisme, kesiagaan, latihan, kebajikan, sistem pemerintahan rejimen serta kerohanian.
“Perkara-perkara ini perlu diberi penekanan dan dipraktikkan oleh warga 2 Briged bagi meneruskan legasi kecemerlangan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perbarisan Pembacaan Perintah Ulung Panglima 2 Briged di markas pasukan berkenaan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Malek Razak memberitahu, pemerintah di pasukan itu juga perlu memastikan beberapa aspek seperti pengurusan sumber manusia dan peralatan tempur sentiasa dijaga.
Beliau berkata, warga 2 Briged juga perlu sentiasa menjaga disiplin dan menentukan mereka berada pada tahap terbaik dari segi kepakaran melalui kursus dan latihan.
“Saya juga mahu aspek kebajikan anggota diberi perhatian kerana ia menyuntik aspek moral.
“Begitu juga keutamaan menetapkan kekuatan dalam rohani kerana saya percaya ia menjadi tunggak kekuatan secara keseluruhan,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE











