KUALA LUMPUR 5 Julai – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warganya yang didapati terlibat dengan isu plagiarisme dan isu integriti berkaitan akademik.
Naib Canselornya, Prof. Ir. Dr. Mohd. Hamdi Abd. Shukor berkata, pihaknya sangat menitikberatkan perkara tersebut dengan cara memberi pendedahan dan peringatan berterusan kepada pelajar dan ahli akademiknya.
Beliau malah memberitahu, langkah ini bagi memastikan perkara itu tidak berulang kembali.
“Jika aktiviti plagiat tidak dibendung, mungkin suatu masa nanti, pendidikan tinggi negara akan terjejas dan kredbiliti universiti serta golongan akademik akan dipertikai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Kementerian Pendidikan yang amat memandang serius terhadap dakwaan kertas penyelidikan yang dibuat oleh pelajar telah `dicuri’ apabila diterbitkan atas nama penyelia (Advisor) mereka.
Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sekali lagi menegaskan bahawa perkara tersebut akan dibawa ke muka pengadilan dan peguamnya sedang meneliti setiap kes bagi memastikan mereka yang terlibat dihukum serta merta.
Jelas Maszlee, tindakan tersebut bagi memastikan mereka yang terlibat dan bersalah menerima hukuman dengan segera.
Sementara itu, Mohd. Hamdi menambah, UKM tidak akan berkompromi terhadap isu berkenaan sebaliknya memandang serius terhadap sebarang salah laku integriti akademik.
Katanya, kenyataan Menteri Pendidikan yang akan mengambil tindakan tegas berhubung dakwaan isu plagiat dan integriti akademik dengan membawa perkara tersebut ke muka pengadilan adalah sesuatu yang wajar.
Beliau turut memaklumkan bahawa Unit Integriti UKM telah diperkasakan peranannya dan diberi kuasa sepenuhnya untuk mengambil tindakan sekiranya ada laporan berlaku salahlaku dalam isu ini.
“Setiap pelaporan akan dimajukan terus kepada Lembaga Pengarah Universiti yang mengambil alih peranan Jawatankuasa Tapisan Integriti yang sebelum ini dipengerusikan oleh Naib Canselor (NC).
“Jawatankuasa Tapisan Integriti ini telah dibubarkan bagi mengelak daripada berlakunya ketidakadilan dan campur tangan NC serta pengurusan utama UKM jika berlaku salah laku amalan tidak berintegriti di UKM,” jelasnya.
Baru-baru ini, UKM telah meluluskan Dasar Pemberi Maklumat bagi memberi perlindungan kepada mereka yang memberi maklumat dan memastikan tiada tekanan kepada mereka yang membuat laporan.
UKM menyediakan saluran aduan rasmi (Sistem Maklum Balas dan Aduan UKM – eFACT) kepada para pelajar dan staf bagi mengemukakan sebarang isu salah laku. -UTUSAN ONLINE











