ALOR SETAR – Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad mencadangkan agar kerajaan menempatkan buat sementara waktu satu batalion tentera di Langkawi seterusnya menggembeleng tenaga bersama polis membanteras dadah sehingga ke akar umbi di kawasan pulau peranginan tersebut.
Katanya, beliau percaya sekiranya anggota tentera khas itu ditempatkan selama dua bulan di Pulau Langkawi masalah dan jenayah dadah akan dapat diatasi dengan lebih pantas.
Ujarnya, satu batalion yang bersamaan dengan 800 orang anggota bersama pihak berkuasa lain boleh melakukan pemeriksaan di setiap buah rumah khususnya di kawasan-kawasan panas, seterusnya mengambil tindakan kepada mereka yang terlibat dengan barang larangan itu.
“Saya percaya jika satu batalion tentera ini ditempatkan selama dua bulan di Langkawi, bukan sahaja masalah dadah, bahkan isu warga asing juga dapat diatasi di pulau peranginan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Langkawi memerlukan sebuah pasukan tentera yang besar untuk menjaga keselamatan seluruh kawasan pantai pulau tersebut.
Perdana Menteri berkata, hal ini berikutan pihak polis dan agensi penguat kuasa lain tidak mampu menjaga keselamatan pantai tersebut terutamanya aktiviti penyeludupan dadah.
Pada 23 Jun lalu, Mingguan Malaysia dalam temubual eksklusif bersama Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador melaporkan, tidak mustahil pulau peranginan terkenal itu menjadi ‘gedung’ dadah suatu hari nanti jika lambakan bahan terlarang itu tidak dibanteras segera.
Sementara itu, Nawawi mengucapkan terima kasih kepada Dr. Mahathir dan Ketua Polis Negara kerana memberi perhatian khas terhadap masalah dadah di Langkawi.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau yakin dan percaya dengan sokongan serta perhatian oleh dua individu penting itu, masalah tersebut akan dapat dibendung.
“Saya amat berharap dengan campur tangan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, agenda dan gerakan menghapuskan dadah ini akan berjalan berterusan.
“Saya yakin seluruh penduduk di Langkawi memberi sokongan penuh di atas usaha murni Perdana Menteri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











