KUALA LUMPUR 5 Julai – Perbezaan ideologi dan parti politik tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mana-mana pemimpin baik di pihak pembangkang mahupun kerajaan untuk bersahabat.
Hal itu dapat dilihat menerusi perkongsian Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang memuat naik gambar beliau beramah mesra dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam akaun Twitter miliknya hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, perkara terpenting sebagai ahli politik adalah menghormati pandangan pelbagai pihak dan menjadikan rakyat sebagai keutamaan.
“Alhamdulillah, sempat beramah mesra dan berbual dengan Dr. Mahathir di mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu yang berakhir siang tadi (semalam).
“Analoginya, dalam padang kami lawan, tapi di luar kami kawan. Berbeza ideologi politik dan pendapat bukan halangan, yang penting saling menghormati pandangan dan rakyat menjadi keutamaan,” katanya di sini. – UTUSAN ONLINE











