KUALA LUMPUR 4 Julai – Barisan pembangkang konsisten akan menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dengan dua syarat.
Seperti yang dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, Pemuda UMNO juga bersedia menyokong pindaan tersebut dengan syarat pendaftaran automatik dijalankan serta had umur calon pilihan raya turut diturunkan kepada 18 tahun.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, syarat pertama iaitu pendaftaran automatik penting kerana masih ramai individu belum mendaftar sebagai pemilih dan untuk memberikan ruang seluasnya kepada pengundi baharu untuk memilih kerajaan.
“ (Ia turut) memberi manfaat pentadbiran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali gus membantu melicinkan urusan pilihan raya dan menjimatkan operasi pentadbiran mereka.
“Cadangan pindaan ini diselaraskan bersama pindaan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan di mana umur calon pilihan raya juga perlu diturunkan ke 18 tahun dari 21 tahun. Pemuda UMNO mahu peluang demokrasi anak muda diberikan secara menyeluruh di samping menjamin konsistensi Perlembagaan Persekutuan itu sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bacaan pertama Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk menurunkan had umur mengundi dibuat siang tadi selepas sesi soal jawab Dewan Rakyat. Ia dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.- UTUSAN ONLINE











