SEREMBAN – Kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja menaik taraf Stesen Komuter Nilai di sini diingatkan supaya menyiapkannya dalam masa terdekat atau berdepan tindakan oleh Kementerian Pengangkutan.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau dimaklumkan bahawa kerja-kerja naik taraf itu sepatutnya siap pada bulan depan.
“Projek itu sudah dimulakan tahun lepas tetapi belum siap. Ia mesti disiapkan dalam masa terdekat dan saya difahamkan pada bulan Ogos.
“Kalau tak siap kita akan ambil tindakan ke atas kontraktor. Naik taraf itu adalah untuk membawa kemudahan kepada penduduk di Nilai,” katanya ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai dan Parlimen Seremban di sini malam ini.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ahli Dewan Undangan Negeri Nilai, J. Arul Kumar serta exco-exco kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, bagi memudahkan penduduk Nilai, beliau telah meminta perkhidmatan tren komuter ekspres Kuala Lumpur ke Seremban berhenti di Nilai pada awal pelantikannya sebagai menteri.
“Ia satu-satunya stesen yang tren itu berhenti dan menyediakan perkhidmatan dari Isnin hingga Jumaat.
“Sehingga kini perkhidmatan itu popular apabila terdapat kira-kira 500 hingga 600 penumpang menggunakannya untuk berulang alik ke ibu negara setiap hari,” katanya. – UTUSAN ONLINE











