MACHANG – Jenazah murid Tahun Enam, Wan Mohammed Adam Mohd Suria, 12, yang maut selepas terjatuh dari bas sekolah di Pasir Puteh selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baka, di sini malam tadi.
Terdahulu, jenazah disembahyangkan di kediaman keluarganya di Kampung Kok Kiak di sini sebelum selesai dikebumikan di tanah perkuburan tersebut pada pukul 10.10 malam.
Kira-kira 100 ahli keluarga dan penduduk membanjiri tanah perkuburan tersebut. Turut hadir Pengarah Pendidikan negeri, Abu Hanipah @ Fauzi Zahari.
Kosmo! melaporkan murid lelaki berkenaan maut selepas ‘jerlus’ dan terjatuh dari lantai bas sekolah yang reput sebelum digilis dalam kejadian di Kilometer 12 Jalan Pasir Puteh-Machang-Grik dekat Kandis, Pasir Puteh, dekat sini.
Dalam kejadian pada pukul 11.50 pagi, mangsa, Wan Mohammed Adam Mohd Suria, 12, maut di tempat kejadian akibat parah di seluruh badan.
Sebelum kejadian, seramai 31 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang berada dalam bas berkenaan sedang dalam perjalanan ke Besut, Terengganu.
Siasatan polis mendapati, mangsa bermain di bahagian hadapan sebelah kiri pemandu dan melompat di kawasan lantai reput semasa bas sekolah sedang bergerak.
Secara tiba-tiba mangsa melompat ke bahagian hadapan pintu sebelum terjatuh dan digilis menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan parah. K! ONLINE











