KUALA LUMPUR – Atlet angkat berat negara, Muhammad Aznil Bidin mengakui perlu berusaha keras dalam memenuhi misi serampang dua mata dalam penampilannya pada kejohanan tahun ini.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 itu, berkata beliau bukan sahaja mahu menumpukan persediaan menghadapi Sukan SEA di Filipina pada November ini, malah turut fokus mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.
Justeru, atlet berusia 25 tahun dari Kedah itu tekad untuk memburu mata kelayakan ke Tokyo pada Kejohanan Angkat Berat Komanwel di Samoa, dari 9 hingga 14 Julai ini, serta Kejohanan Dunia di Pattaya, Thailand, bermula 16 hingga 25 Sept depan.
“Sukan SEA tetap menjadi sasaran untuk saya tonjolkan keupayaan kerana ia satu kejohanan besar buat saya.
“Sasaran saya untuk memecahkan rekod terbaik peribadi untuk musim ini, 153kg dalam acara clean (amp) jerk,” katanya kepada pemberita selepas lawatan Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, di Bukit Jalil, di sini hari ini.
Turut sama pada sesi lawatan tersebut, dua timbalan chef-de-mission ke temasya dwitahunan itu – Ahmad Faedzal Md Ramli dan Nurul Huda Abdullah.
Muhammad Aznil yang akan bertanding dalam kategori 62kg, berazam untuk meraih pingat di Samoa, kejohanan pertama menawarkan mata kelayakan, bagi memastikan beliau tidak tercicir untuk memungut mata ke temasya Sukan Olimpik 2020.
Beliau berkata prestasi kurang memberangsangkan pada Kejohanan Asia di Ningbao, China, pada April lepas, menjadi motivasi terbaik untuknya bangkit mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik.
Pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, Muhammad Aznil melakukan angkatan bebanan 126kg dalam acara snatch, dan menjulang 162kg dalam clean&jerk untuk jumlah keseluruhan 288kg.-BERNAMA











