KOM dilanda kemelut selepas pemilihan - Utusan Malaysia

KOM dilanda kemelut selepas pemilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Itu gambaran boleh diberikan susulan kemelut terkini melanda Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang belum pun seminggu, beralih kepimpinan.

DATUK MUMTAZ JAAFAR

Episod lancar proses pemilihan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu, Ahad lepas, bagaimanapun kini menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa pihak, yang mempertikai perjalanan mesyuarat dikatakan janggal, termasuk kecewa dengan bekas presiden Datuk Karim Ibrahim, yang didakwa tidak peka dengan keadaan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seperti tiada kesudahan, ada sahaja pihak tidak berpuas hati terhadap pucuk pimpinan baharu KOM sehingga mahu melibatkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS).

Keadaan itu dilihat seperti ada pihak tertentu sengaja mahu mensensasi dan mengelirukan pelbagai pihak.

Ketika ditanya mengenai situasi itu, Timbalan Presiden KOM Datuk Mumtaz Jaafar tampil dengan jawapan ringkas menyifatkan itu adalah ‘politik dalam sukan’.

“Pada hari itu, semua ahli KOM hadir sewaktu pembubaran berlaku, kemudian undian pemilihan bagi ahli pimpinan baharu dijalankan dan selepas itu pelantikan barisan kepimpinan baharu diumum.

“Selepas pembubaran, Datuk Karim keluar dari bilik mesyuarat dan Datuk S.M. Muthu ambil alih tugas mempengerusikan mesyuarat itu sehingga selesai.

“Ketika AGM berlangsung, tidak ada sebarang bantahan dibuat dan kami mengikut agenda pemilihan. Tetapi kini pelbagai masalah timbul. Ini semua politik dalam sukan,” katanya..

Dalam laporan sebuah akhbar, seorang pemerhati bebas sewaktu pemilihan KOM 2019-2022, Datuk Mohd Musa Noor Mohd tampil menyuarakan pandangannya, malah mempertikai perjalanan mesyuarat berkenaan pada Ahad lepas.

Bukan itu sahaja, beberapa ahli perwakilan KOM yang hadir turut bersetuju dengan pandangan Mohd Musa sekali gus menguatkan dakwaan tersebut.

Mengulas lanjut, Mumtaz menegaskan beliau tidak mahu terlibat dalam kemelut politik dalam sukan, sebaliknya mahu menumpukan usaha mengangkat martabat sukan olahraga negara ke peringkat lebih tinggi.

Bekas ratu trek kebangsaan itu berkata tanggungjawab baharu dipikulnya itu menjadi semakin berat berbanding sebelum ini, ketika menjawat jawatan naib presiden KOM, di samping beliau kini memangku tugas selaku ketua jurulatih kebangsaan yang ditinggalkan Zainal Abas.

“Ketika ini, saya mahu fokus kepada tanggungjawab dan amanah yang diberikan serta mahu menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Pada AGM KOM Ahad lepas, menyaksikan Karim gagal mempertahankan jawatan presiden selepas hanya meraih 18 undi berbanding Muthu, 21 undi, manakala Mumtaz menang tanpa bertanding apabila satu-satunya pencabar, bekas Presiden KOM, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, mengumumkan menarik diri.

Empat kerusi naib presiden pula dimenangi Datuk Mark William Ling (34 undi), Rajemah Sheikh Ahmad (28), Datuk Fadzil Abu Bakar (20) dan Josephine Kang.

Undian semula untuk memilih naib presiden keempat terpaksa diadakan semula apabila Josephine dan Mohamad Awang masing-masing meraih 19 undi.

Josephine menang dengan 20 undi mengatasi Mohamad (19) pada undian semula.-BERNAMA 


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini