KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan Skuad Badar agar tidak bertindak dalam apa jua cara yang bertentangan dengan undang-undang.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, kumpulan tersebut bukan badan penguat kuasa agama yang sah dan tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan sebarang bentuk tindakan penguatkuasaan.
“Perlu ditegaskan bahawa mana-mana kumpulan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) adalah dikira pertubuhan haram dan tindakan yang sewajarnya akan diambil ke atas mereka yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mazlan Mansor berkata demikian merujuk kepada satu kenyataan akhbar oleh Presiden Skuad Badar, Azhar Mohamad bahawa kumpulan tersebut bakal diaktifkan semula dan kegiatan mereka diperluaskan di seluruh negara sebagai usaha membanteras gejala maksiat dalam kalangan masyarakat Islam.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan tentang perancangan kemunculan semula kumpulan berkenaan bagi membanteras gejala maksiat yang disifatkan semakin membimbangkan.
Menurut Azhar Mohamad, pihaknya kini sedang dalam persiapan pelbagai aspek khususnya bagi mendaftarkan pertubuhan tersebut kepada JPPM. – K! ONLINE











