Mekanik parah ditetak dengan kelewang - Utusan Malaysia

Mekanik parah ditetak dengan kelewang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT – Seorang mekanik cedera parah selepas ditetak oleh individu tidak dikenali dengan senjata tajam dipercayai kelewang di dalam bengkel membaiki kenderaannya di Kampung Paya Rawa, Kampung Raja dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, mangsa berusia 61 tahun cedera parah pada kedua-dua lengan dan kaki kanan akibat tetakan kelewang yang merupakan senjata tradisional Kelantan menyerupai pedang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu kejadian, mangsa sedang membaiki sebuah motosikal di bengkel kenderaannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tidak lama kemudian, dia didatangi oleh dua lelaki memakai topi keledar dan menutup muka mereka dengan kain yang menaiki sebuah motosikal.

“Pembonceng motosikal itu turun dari motosikal terbabit lalu menyerang mangsa dengan sebilah kelewang sebelum melarikan diri,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Zamri berkata, mangsa yang berlumuran darah menjerit meminta pertolongan yang didengari isterinya berusia 55 tahun di rumah mereka yang terletak di belakang bengkel membaiki kenderaan berkenaan.

Menurut beliau, lelaki itu telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Besut di sini untuk menerima rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

“Motif kejadian masih disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Mangsa gagal mengenal pasti jenis dan nombor pendaftaran motosikal yang digunakan kedua-dua suspek.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini