KUALA LUMPUR- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan mana-mana kumpulan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) adalah dikira pertubuhan haram dan tindakan yang sewajarnya akan diambil ke atas mereka yang terbabit.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, perkara ini merujuk kepada kenyataan media oleh Presiden Skuad Badar, Azhar Mohamad bahawa kumpulan tersebut bakal diaktifkan semula dan kegiatan mereka diperluaskan di seluruh negara sebagai usaha membanteras gejala maksiat dalam kalangan masyarakat Islam.
“PDRM ingin menasihati kumpulan tersebut agar tidak bertindak dalam apa jua cara yang bertentangan dengan undang-undang.
“Ini kerana mereka bukan badan penguat kuasa agama yang sah dan tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan sebarang bentuk tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, portal berita melaporkan kumpulan Skuad Badar bakal membuat kemunculan semula bagi membanteras gejala maksiat dalam kalangan masyarakat Islam yang disifatkan semakin membimbangkan di negara ini.
Menurut Azhar, pihaknya kini dalam persiapan dalam pelbagai aspek khususnya bagi mendaftarkan pertubuhan tersebut kepada Jabatan Perdaftaran Pertubuhan Malaysia serta akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan jabatan-jabatan agama negeri.
Azhar ditahan pihak berkuasa pada Januari lalu sekali gus menyebabkan aktiviti kumpulan itu terhenti.-UTUSAN ONLINE











