Media sosial kini menjadi medium utama untuk sesiapa sahaja meluahkan segala rasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara dan masalah.
Ramai melihat perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana hanya akan membuka aib sendiri terutama mereka yang berada dalam kelompok artis.
Namun, penyanyi rock yang juga vokalis kumpulan Pelita Lusoh, Aweera selesa meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan menulis status dalam laman sosial dan aplikasi WhatsApp biarpun sedar impaknya.
Menurut Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Norhissham, 27, itu adalah cara untuk dia mengurangkan tekanan yang dihadapi.

Malah, dia bimbang jika diluahkan kepada orang lain mungkin ‘memakan’ diri di kemudian hari.
“Memang saya gemar meluahkan rasa sedih, tidak puas hati, geram, benci dan sebagainya dalam status aplikasi WhatsApp atau laman sosial.
“Kalau ada yang tanya sebabnya, biar saya simpan sendiri. Lagipun menulis status di mana-mana platform adalah sohor kini,” katanya.
Kata Aweera, sebagai insan biasa dia tidak terlepas daripada masalah hidup. Apapun segala status yang dimuat naik itu adalah rahsia dirinya dan tidak akan berkongsi dengan sesiapa.
“Kalau saya marah atau gerampun, saya takkan bongkar siapa orangnya. Kalau ada yang terasa dengan status saya, itu bukan masalah saya.
“Kata orang, siapa makan cili dia yang rasa pedas. Apa-apapun dengan luahan itu membuatkan saya tidak berdendam kerana berjaya meluahkannya,” kata Aweera yang mengaku kadang-kadang tekanan hidup membuatkan dirinya hilang arah.
Tambah Aweera, mungkin darah muda membuatkan dia cepat beremosi apabila berhadapan dengan situasi yang sukar.
“Tipulah kalau saya cakap rasa marah atau geram boleh hilang begitu sahaja. Saya bukan robot atau patung yang tiada perasaan. Jadi, saya perlukan masa untuk bertenang.
“Biasanya dengan mendirikan solat, hati saya lebih tenang dan membuatkan saya cepat melupakan apa yang berlaku.
“Saya tidak tahu bagaimana mahu cakap, tetapi ketenangan itu sukar digambarkan dengan kata-kata setiap kali mengadu masalah kepada-Nya,” katanya.
Selain itu, Aweera juga mengamalkan prinsip berdiam diri dan bercakap kepada kedua ibu bapanya bagi menghilangkan tekanan dan kemarahan.
“Kalau marah saya lebih suka berdiam diri dan buat aktiviti yang disukai. Saya juga telefon ibu atau ayah yang sentiasa memberikan sokongan kepada anaknya ini. Dengar suara mereka sahaja seperti semua masalah hilang.
“Dalam masa sama, saya juga perlu bijak berhadapan tekanan kerana risau akan mengalami depresi yang dihidapi oleh ramai orang sekarang kerana tekanan hidup,” jelas Aweera yang pernah popular dengan lagu Andaiku Bercinta Lagi dan Roman Cinta.
Pelita Lusoh
Terbaharu, Aweera bersama-sama kumpulan rock Pelita Lusoh bakal muncul dengan album penuh yang memuatkan lapan lagu ciptaan mereka sendiri.
“Sebagai kumpulan baharu, saya tahu banyak lagi perkara yang kami perlu lakukan untuk lebih dikenali. Lagu sebelum ini, P.I.L yang mengisahkan kematian dan pengakhiran hidup mendapat sambutan dalam kalangan peminat.
“Ini sedikit sebanyak memberi harapan bahawa muzik yang kami bawa semakin diminati. Insya-Allah, album kami akan dilancarkan pada Ogos ini.
“Saya tahu bukan mudah mahu popular dan berjaya, namun saya percaya lagu yang bagus serta kerjasama berterusan sesama ahli kumpulan boleh membawa Pelita Lusoh ke peringkat yang lebih tinggi.
“Cuma kami perlu bersabar dan terus berusaha,”katanya mewakili Pelita Lusoh yang sedang mengintai peluang menembusi pasaran Indonesia, Singapura, Jepun dan Thailand.
Kekasih di syurga
Selepas putus cinta dengan seorang penyanyi tiga tahun lepas, bekas ahli kumpulan Mojo ini masih solo tanpa cinta.
“Pasal cinta, saya belum ada kekasih. Saya sudah melupakan kenangan cinta lalu dan hati sudah terbuka menerima sesiapa sahaja. Saya tidaklah terlalu memilih, cukuplah dia memahami kerjaya serta menerima saya seadanya.
“Saya tidaklah mencari dan bukan juga mengabaikan langsung soal cinta, tetapi biarlah ia datang sendiri. Tak mengapa, kalau tiada jodoh di dunia, saya pasti bertemu jodoh disyurga nanti,” luahnya.











