KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendapati terdapat peningkatan dalam bilangan pertanyaan dan aduan daripada orang ramai mengenai tawaran syiling awal (ICO) dan bursa aset digital.
SC menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan mana-mana individu yang menawarkan ICO. SC tidak memberi kebenaran kepada mana-mana ICO selagi garis panduan mengenainya belum dimuktamadkan.
Menurut SC, sebarang tawaran aset digital serta aktiviti yang berkaitan dengannya seperti memasarkan atau mempelawa orang lain untuk melanggan ICO memerlukan kebenaran daripada SC.
Katanya, ini adalah Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Preskripsi Sekuriti) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019 (Perintah Preskripsi) susulan berkuatkuasanya pada 15 Januari 2019.
“SC ingin mengingatkan para pelabur agar berwaspada dengan penerbit ICO yang tidak beroperasi secara fizikal di Malaysia akan menimbulkan kesukaran untuk mengesahkan kesahihan ICO tersebut seterusnya, pengembalian wang yang dilaburkan mungkin tertakluk kepada undang-undang atau peraturan asing.
“Penglibatan individu yang tidak dibenarkan meningkatkan risiko dan pendedahan kepada penipuan, pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
SC juga menggesa para pelabur agar berhati-hati ketika mempertimbangkan untuk membeli atau menjual aset digital melalui platform dagangan.
Walaupun sesebuah platform boleh mendakwa bahawa ia adalah ‘bursa,’ tidak semestinya ia telah diberi kebenaran oleh SC. – UTUSAN ONLINE











