KUALA TERENGGANU – Seramai 110 guru pemulihan dari tiga daerah di negeri ini menyertai Kursus Membudayakan ‘Freehands Visualization Skill’ (FVS) dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) oleh pengasas Drawzania.com, Dr. Ruzaimi Mat Rani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam di sini.
Kursus anjuran bersama RHB Bank yang julung kali diadakan di Terengganu itu bertujuan memberi pendedahan dan melatih kalangan pendidik di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang mengenai kemahiran asas FVS bagi memantapkan lagi proses P&P di sekolah.
Menurut Dr. Ruzaimi, menerusi teknik FVS yang menitikberatkan kemahiran lakaran itu guru-guru bukan sahaja berupaya berkomunikasi secara lebih jelas dengan murid-murid yang bermasalah pembelajaran, bahkan mampu menyampaikan input yang berkesan berbanding kaedah sedia ada.
“Sebenarnya kemahiran tangan (lakaran) merupakan sumber komunikasi utama golongan pendidik di sekolah pada zaman dahulu, namun kaedah itu dilihat semakin kurang digunakan pada masa ini, jadi kita mahu memperkenalkannya semula menerusi FVS.
“Kemahiran FVS sesuai digunapakai semua guru di samping masyarakat khususnya ibu bapa kerana ibu bapa juga perlu belajar melakar untuk membantu anak-anak mereka menguasai FVS,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas program.
Dr. Ruzaimi berkata, sambutan kalangan peserta amat memberangsangkan dengan rata-ratanya teruja mempelajari kemahiran baharu itu kerana secara tidak langsung mengubah persepsi dan pemahaman mereka mengenai lakaran ketika menyampaikan ilmu.
Dalam perkembangan sama, katanya, Terengganu merupakan sekolah ketiga yang didedahkan dengan kursus FVS selepas Kuala Lumpur dan Melaka dengan siri jelajah seterusnya dijangka diadakan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sipitang di Sabah pada 23 Julai ini diikuti Melaka pada 1 Ogos.
Sementara itu, guru pemulihan Sekolah Kebangsaan (SK) Losong, Roslezah Hussin berkata, sudah tiba masanya pendekatan FVS diperluaskan di negara ini kerana matlamatnya bertepatan dengan hasrat Pendidikan Abad Ke-21 di samping pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Menariknya, FVS juga mampu mencungkil kreativiti guru terutama dalam mengendalikan murid yang dikategorikan lambat membaca, yang proses P&P tidak cukup sekadar teks semata-mata tetapi perlu menggunakan visual,” katanya.
Bagi guru pemulihan SK Bukit Tunggal, Syed Mohd. Nasir Syed Abdul Rahman, lakaran mampu merangsang otak murid, malah kemahiran itu jika diamalkan dapat menceriakan suasana pembelajaran sekali gus memudahkan proses penyampaian ilmu secara berterusan.
“Menerusi lakaran, kita akan tengok hasil yang pelbagai dan dalam masa sama para guru boleh mendiagnos tahap masalah pembelajaran murid masing-masing berdasarkan lukisan itu,” katanya.
Mereka yang berminat untuk mengikuti kemahiran FVS secara dalam talian boleh melayari laman web www.drawzania.com untuk melanggan pada harga serendah RM200 setahun.












