Polis gempur sindiket proses dan edar dadah bernilai RM1.8 juta - Utusan Malaysia

Polis gempur sindiket proses dan edar dadah bernilai RM1.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah bernilai lebih RM1.8 juta dengan menahan lapan individu termasuk tiga lelaki warganegara Iran dalam dua serbuan berasingan di Jalan P.Ramlee dan Jalan Delima di sini pada Selasa lalu.

Operasi khas tersebut dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul yang bermula pada pukul 1 petang hingga 5.30 petang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tiga lelaki warga Iran itu ditahan berdasarkan hasil maklumat lima pengedar dadah yang ditahan sebelum serbuan itu dijalankan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Serbuan terhadap tiga lelaki Iran itu dijalankan di sebuah kondominium mewah di Jalan Delima di sini dan pihak polis telah merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk memproses dadah antaranya dua tong plastik mengandungi cecair disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 29.8 kilogram (kg) dan dadah methamphetamine yang telah diproses seberat 580 gram serta alat penyukat.

“Ketiga-tiga suspek yang berusia 35 hingga 38 tahun itu dipercayai menjadi ‘ahli kimia’ yang mampu memproses dan mencuci dadah daripada bentuk asal kerana mereka mempunyai formula sendiri untuk melakukannya,” katanya pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurutnya lagi, salah seorang daripada mereka sudah menetap di negara ini sejak empat tahun lalu, manakala dua lagi berada di sini masing-masing selama empat bulan dan lima hari. Pihak polis juga masih menyiasat sumber mereka mendapatkan bekalan dadah tersebut.

Nilai keseluruhan dadah tersebut adalah berjumlah RM643,900 dan jumlah wang tunai yang disita dalam serbuan itu berjumlah RM900. Hasil saringan ujian air kencing mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Mazlan menambah, serbuan sebelum itu dijalankan di sebuah kondominium mewah di Jalan P. Ramlee di sini pada pukul 1 petang dengan menahan tiga lelaki tempatan dan dua wanita Vietnam berusia sekitar 22 hingga 57 tahun yang juga merupakan pasangan kekasih.

“Polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 1kg, Ketamin seberat 17.3kg dan methamphetamine seberat 3kg bernilai RM1.2 juta yang dipercayai mahu diedarkan ke sekitar kawasan Lembah Klang beserta wang tunai berjumlah RM20,000.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati empat daripadanya positif dadah jenis Methamphetamine manakala seorang lagi lelaki tempatan negatif ujian tersebut,” ujarnya.

Kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 9 Julai ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Kesemua dadah yang dirampas dalam dua serbuan ini dipercayai boleh dibekalkan kepada 52,330 pengguna dadah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini