PORT DICKSON – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMM) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz memang wajar dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan memecat Haziq Abdullah adalah tindakan tepat dan ia sepatutnya dilakukan lebih awal.
“Ia tindakan yang wajar, tetapi saya ralat sedikit kerana dia (Haziq Abdullah) patut dipecat lebih awal.
“Saya harap kes seperti ini jika berlaku pada masa depan dikenakan tindakan tangkas dan cepat supaya spekulasi dan penyebaran maklumat dapat dihentikan secepat mungkin,” katanya pada sidang media sesi ‘Town Hall’ Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Mohd. Nazri Md. Shariff dan Pengerusi PR1MA, Tan Sri Eddy Chen Lok Loi.
Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, kegagalan menghentikan spekulasi dan penyebaran maklumat seperti itu dalam kalangan rakyat akan menjejaskan pembangunan negara.
Semalam, PKR mengumumkan memecat keahlian Haziq selepas perkara itu diputuskan oleh Lembaga Disiplin parti tersebut malam tadi.
Haziq didakwa telah membuat tuduhan rasuah secara terbuka terhadap pemimpin PKR tanpa bukti sekali gus melanggar kod etika parti itu. – K! ONLINE











